Sabtu, 27 Oktober 2012

Imbasan Kembali Sesi Lawatan SUT KHEU


14 Ogos 2006, Isnin - Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ishaaq bin Haji Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama petang kelmarin telah mengadakan lawatan ke Sekolah Ugama Beribi, Jalan Gadong, Negara Brunei Darussalam.

Ketibaan Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ishaaq bin Haji Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama ke sekolah Ugama Beribi dialu-alukan oleh Yang Mulia Awang Haji Sufri bin Haji Besar, Guru Besar Sekolah Ugama tersebut, Dayang Hajah Kasmah bte Haji Siput, Pengarah Pengajian Islam, dan Pegawai-Pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Program lawatan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama ke Sekolah Ugama Beribi dimulakan dengan bacaan surah Al Fatihah dipimpin oleh Guru Besar Sekolah Ugama Beribi, Awang Haji Sufri bin Haji Besar. Ini diikuti dengan taklimat mengenai visi, misi dan pencapaian sekolah ugama berkenaan.

Dalam taklimat tersebut Awang Haji Sufri bin Haji Besar telah menyentuh mengenai program-program kecemerlangan yang telah dan sedang dijalankan di Sekolah Ugama Beribi antaranya Program Muratal Al-Quran, Amali Ugama, Program Pemantauan Murid dan Program Kerohanian. Sekolah Ugama Beribi juga mengadakan Program Pendidikan Khas bagi murid-murid bekeperluan khas khususnya pelajar-pelajar yang lemah dalam pelajaran serta murid yang mempunyai masalah intelek seperti 'down syndrome'. Ini adalah bagi mempastikan murid-murid berkeperluan khas di Negara ini tidak ketinggalan dalam pendidikan agama.

Ini diikuti dengan sesi soaljawab dan perbincangan diantara Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Ishaaq, Timbalan Setiausaha beserta rombongan dengan pihak sekolah.

Dalam sesi perbincangan tersebut, Dato Paduka Awang Haji Ishaaq telah memberi penekanan terhadap perancangan dalam mencapai matlamat kecemerlangan sekolah, pengurusan sekolah khususnya dalam hal ehwal pengajaran dan pembelajaran serta mempastikan persekitaran sekolah yang bersih dan cantik. Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga menyarankan agar pihak sekolah mengamalkan Program 3K iaitu Kebersihan, Kesihatan dan Keindahan dengan sempurna. Program 3K bertujuan agar sekolah mampu memberi suasana keceriaan kepada murid-murid sekolah agar murid-murid gembira berada di persekitaran sekolah ugama. Ini adalah bagi mencapai hasrat agar sekolah-sekolah ugama di Negara ini boleh dijadikan modal atau sekolah tauladan. Dari segi program pembelajaran, sekolah ugama disarankan untuk melantik dan melatih murid-murid dari kecil lagi dalam mengadakan kelas-kelas pembelajaran Al-Quran untuk meningkatkan prestasi dan kewibawaan murid-murid.

Sekolah Ugama Beribi mula dibuka pada tahun 1990 dengan penempatan dibangunan sementara. Sekolah Ugama Beribi kemudiannya berpindah ke bangunan kekal pada tahun 1995 yang dibuka rasmi pada 26 september 1996. Keramaian guru-guru dan kakitangan sekolah ugama tersebut ialah seramai 65 orang. 12 orang daripadanya adalah guru berijazah dan 51 orang merupakan guru ugama terlatih yang memiliki Sijil Perguruan Ugama. Keramaian murid di sekolah tersebut seramai 1442 orang yang menempatkan 516 orang murid pada sesi pagi dan 926 orang murid pada sesi petang.

Bangunan Sekolah Ugama Beribi yang ada pada masa ini mempunyai 3 blok yang menempatkan bilik guru besar, pentadbiran, perpustakaan dan bilik-bilik darjah.

Visi Sekolah Ugama Beribi ialah "Kearah Kewibawaan, Kemuliaan dan Kecemerlangan". Manakala Moto Sekolah ialah "Kreatif, Inovatif, Aspirasi Kecemerlangan".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan