Khamis, 30 Januari 2014

Ceramah Maulud Nabi Muhammad S.A.W 2014

Tajuk Ceramah:
" RASULULLAH PEMBAWA RAHMAT SEJAGAT"

Majlis ini telah dihadiri semua murid-murid dan guru-guru sekolah ini dengan penuh semangat.
28hb Rabiulawal 1435H


Pihak sekolah telah mengundang salah seorang penceramah yang tidak asing lagi.
Yang Mulia,
Awg A'di Asmat Bin Lamat
Pendakwah Bebas Pusat Dakwah Islamiah
Negara Brunei Darussalam

SEJAK 12 malam yang lalu, alunan merdu Dikir Maulud, bacaan qasidah dan selawat ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bergema di setiap sebutan di bibir para jemaah yang hadir untuk membesarkan Baginda dan terus bersemarak di seluruh masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara yang mengandungi puji-pujian ke atas Baginda pada majlis penuh barakah yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, seperti kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, mukim-mukim dan kampung-kampung serta pihak swasta dan perseorangan.
Sesungguhnya tiada nikmat di alam maya ini yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa rahmat bagi sekalian alam iaitu Junjungan Besar kita Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Tanpa Baginda dan pengorbanannya sudah pasti hari ini kita tidak akan mampu mengenal erti Islam, iman dan ihsan. Justeru, sebagai umatnya adalah tidak adil jika kita melupakan jasa-jasa insan pembawa dan pejuang Islam yang sejati itu.
Kita sebagai umat Islam memang wajib memperingati kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu setiap 12 Rabiulawal, kerana Baginda sendiri selaku Nabi tidak pernah melupakan umatnya hatta tatkala nyawa berada di hujung tanduk, mulut Baginda tidak henti-henti menyebut kalimah 'ummati, ummati, ummati' yang bermaksud 'umatku' yang menunjukkan cinta dan kasihnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap kita.
Dengan tema sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1435 Hijriah ini iaitu 'Rasulullah Pembawa Rahmat Sejagat', adalah amat bertepatan kerana Baginda diutus ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat kepada umatnya. Baginda adalah merupakan Rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada seluruh umat manusia, setiap tempat dan masa, bahkan untuk kerahmatan alam seluruhnya. Oleh itu tidak sempurna iman seseorang itu jika tidak mengutamakan cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Antara rahmat yang dibawa oleh Baginda, ialah nikmat umur yang hanya dipinjamkan kepada umatnya. Pembawa kedamaian, kemajuan masyarakat dan banyak lagi pengajaran yang boleh kita ambil daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diamalkan dalam kehidupan kita sehari-harian. Di antaranya : Berakhlak mulia dan terpuji; Bersikap sabar dan tegas menolak kekufuran, kemusyrikan dan segala bentuk kemaksiatan; Gemar melakukan perkara-perkara yang bermanfaat; Mencintai persaudaraan dan menghindari permusuhan; Mencintai ilmu pengetahuan. Inilah antara keperibadian Baginda yang agung dan sangat baik untuk kita teladani selamanya.
Perutusan Baginda ke alammaya ini juga adalah merupakan rahmat kepada kanak-kanak, remaja, belia, golongan dewasa lelaki mahupun perempuan. Setiap lapisan generasi manusia mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi Baginda. Bahkan alam dan segala isinya sentiasa berselawat mendoakan kesejahteraan Baginda kerana akhlak dan tingkah laku mulia Junjungan Besar ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1435 Hijriah / 2014 Masihi kelmarin menjelaskan bahawa, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah rahmat kepada alam dan pembawa perubahan-perubahan yang sangat bermakna untuk dinikmati bersama.
Perubahan-perubahan itu titah baginda, ialah dari gelap-gelita kepada terang-benderang. Dari perhambaan kepada kemerdekaan. Dari kufur kepada Islam. Dari membunuh hidup-hidup kanak-kanak perempuan kepada menyelamatkan mereka. Dari pertelingkahan dan pembunuhan kepada hidup berbaik-baik.

Dari itu, bersempena dengan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ini, marilah kita selaku umat Islam di negara ini untuk sama-sama terus membaca selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan menjadikan Rasulullah sebagai kekasih kita, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan melayakkan kita mendapat syafaatnya di Padang Mahsyar kelak. Amin Ya Rabbal'alamin!

1 ulasan:

  1. Harrah's Atlantic City Hotel & Casino - JTM Hub
    Make your stay 속초 출장마사지 in Atlantic City 춘천 출장안마 with JTM's spacious Resort King room and tower. Come out and play 제주 출장안마 in one of 전라북도 출장마사지 the most exclusive Atlantic 태백 출장샵 City

    BalasPadam