Tajuk Ceramah:
" RASULULLAH PEMBAWA RAHMAT SEJAGAT"
Majlis ini telah dihadiri semua murid-murid dan guru-guru sekolah ini dengan penuh semangat.
28hb Rabiulawal 1435H
Pihak sekolah telah mengundang salah seorang penceramah yang tidak asing lagi.
Yang Mulia,
Awg A'di Asmat Bin Lamat
Pendakwah Bebas Pusat Dakwah Islamiah
Negara Brunei Darussalam
SEJAK 12 malam yang lalu, alunan merdu Dikir Maulud, bacaan qasidah
dan selawat ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi
Wasallam bergema di setiap sebutan di bibir para jemaah yang hadir untuk
membesarkan Baginda dan terus bersemarak di seluruh masjid, surau-surau dan
balai-balai ibadat di seluruh negara yang mengandungi puji-pujian ke atas
Baginda pada majlis penuh barakah yang dianjurkan oleh pelbagai pihak, seperti
kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan, mukim-mukim dan kampung-kampung
serta pihak swasta dan perseorangan.
Sesungguhnya tiada nikmat di alam
maya ini yang lebih besar daripada nikmat dikurniakan seorang Nabi pembawa
rahmat bagi sekalian alam iaitu Junjungan Besar kita Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam. Tanpa Baginda dan pengorbanannya sudah pasti hari ini kita
tidak akan mampu mengenal erti Islam, iman dan ihsan. Justeru, sebagai umatnya
adalah tidak adil jika kita melupakan jasa-jasa insan pembawa dan pejuang Islam
yang sejati itu.
Kita sebagai umat Islam memang wajib
memperingati kelahiran Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu
setiap 12 Rabiulawal, kerana Baginda sendiri selaku Nabi tidak pernah melupakan
umatnya hatta tatkala nyawa berada di hujung tanduk, mulut Baginda tidak
henti-henti menyebut kalimah 'ummati, ummati, ummati' yang bermaksud 'umatku'
yang menunjukkan cinta dan kasihnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
terhadap kita.
Dengan tema sambutan Maulud Nabi
Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Peringkat Negara Tahun 1435 Hijriah ini iaitu
'Rasulullah Pembawa Rahmat Sejagat', adalah amat bertepatan kerana Baginda
diutus ke seluruh alam ini untuk membawa rahmat kepada umatnya. Baginda adalah
merupakan Rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala
kepada seluruh umat manusia, setiap tempat dan masa, bahkan untuk kerahmatan
alam seluruhnya. Oleh itu tidak sempurna iman seseorang itu jika tidak
mengutamakan cinta kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Antara rahmat yang dibawa oleh
Baginda, ialah nikmat umur yang hanya dipinjamkan kepada umatnya. Pembawa
kedamaian, kemajuan masyarakat dan banyak lagi pengajaran yang boleh kita ambil
daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk diamalkan dalam kehidupan
kita sehari-harian. Di antaranya : Berakhlak mulia dan terpuji; Bersikap sabar
dan tegas menolak kekufuran, kemusyrikan dan segala bentuk kemaksiatan; Gemar
melakukan perkara-perkara yang bermanfaat; Mencintai persaudaraan dan
menghindari permusuhan; Mencintai ilmu pengetahuan. Inilah antara keperibadian
Baginda yang agung dan sangat baik untuk kita teladani selamanya.
Perutusan Baginda ke alammaya ini
juga adalah merupakan rahmat kepada kanak-kanak, remaja, belia, golongan dewasa
lelaki mahupun perempuan. Setiap lapisan generasi manusia mempunyai kedudukan
yang istimewa di sisi Baginda. Bahkan alam dan segala isinya sentiasa
berselawat mendoakan kesejahteraan Baginda kerana akhlak dan tingkah laku mulia
Junjungan Besar ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum
Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang
Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah sempena Sambutan Maulud
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Bagi Tahun 1435 Hijriah / 2014 Masihi
kelmarin menjelaskan bahawa, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah
rahmat kepada alam dan pembawa perubahan-perubahan yang sangat bermakna untuk
dinikmati bersama.
Perubahan-perubahan itu titah
baginda, ialah dari gelap-gelita kepada terang-benderang. Dari perhambaan
kepada kemerdekaan. Dari kufur kepada Islam. Dari membunuh hidup-hidup
kanak-kanak perempuan kepada menyelamatkan mereka. Dari pertelingkahan dan
pembunuhan kepada hidup berbaik-baik.
Dari itu, bersempena dengan Sambutan
Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ini, marilah kita selaku umat
Islam di negara ini untuk sama-sama terus membaca selawat ke atas Junjungan
Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan menjadikan Rasulullah
sebagai kekasih kita, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala akan melayakkan
kita mendapat syafaatnya di Padang Mahsyar kelak. Amin Ya Rabbal'alamin!